Monday, April 30, 2012

Dilema Asyik

Asyik-asyik bintang, asyik-asyik bulan
Asyik-asyik cinta, asyik-asyik korban
Asyik-asyik memori, asyik-asyik rindu
Asyik-asyik kenangan, asyik-asyik berlalu

Asyik-asyik malam, asyik-asyik sunyi
Asyik-asyik seorang, asyik-asyik sepi
Asyik-asyik teraniaya, asyik-asyik tabah
Asyik-asyik melampau, asyik-asyik rebah

Asyik-asyik cekal, asyik-asyik tak kisah
Asyik-asyik nasib, asyik-asyik pasrah
Asyik-asyik balasan, asyik-asyik redha
Asyik-asyik sesalan, asyik-asyik karma

Asyik-asyik pelangi, asyik-asyik harapan
Asyik-asyik menari, asyik-asyik hujan
Asyik-asyik berjiwa, asyik-asyik kacau
Asyik asyik sayang, asyik-asyik risau

Drama ini aku wisatawan
Sketsa ini aku seniman






p/s: kita semua sama bukan?


1 May 2012, 6.44pagi
Shah Alam (berteman dentuman guruh)

Sunday, April 1, 2012

Si Jijik

Akukah manusia jijik itu?
Bertopeng sayang dipapah rindu
Ucap serapah isi yang kosong
hilang semua, semua melopong

Harapan, masa depan
Semalam...penipuan
Kusut tak terungkai
Singkap tak ternampak
Tercari-cari

Lalu, menyerah?

Akulah, ye, akulah
Akulah si jiijik itu
Perdagang matawang bernama rasa
Mengutip untung; tak kira binasa


Berjumpa khalayak lalu berkata,
"Saya Fitghi, ini kad saya"
"Mahu dibawa keluar dunia?"
"Lawan graviti, terbang bersama?"
"Indah dah mesti, kelas pertama!!!"

Akukah? Akukah? Akukah si bangsat itu?


Akulah, ye, akulah.



1 April 2012, 5.51ptg
shah alam (petang, seorang)







*ini bukan April Fool

Wednesday, February 15, 2012

Omong Kosong

Sanggup kau?
Meniti teori ilusi di kala kau tahu;
Gembira, hebat, kental, super
hanyalah tipu.

Yang sebenarnya engkau rapuh
Ditutuh lemah personafikasi diri sendiri
Dijana menjadi hak; walau mimpi

Fucked Up
.

Apa perlu segan?
Di kala akuan vulnerable mampu mengubah
Menggubah kau yang sebenar-benarnya kau
Takbur tak lekat ego kau hancur
Hidup tak hebat tapi mati kau jujur.



Atau kau rela pura?


Lantak engkau lah.



16 Februari 2012, 3.20 pagi
kampar (bilik kosong)


*lama aku hilang.

Friday, December 9, 2011

Dibuli Sendiri

Sayup suara engkau membisik
Usik kotak ingat diriku
Suntuk masa saat terdetik
Waktu berlalu berteman sayu

Seorang
Terusang
Terasing
Runsing
Aku dibuli emosi sendiri

Aku mahu didodoi
Oleh sepoi bahasa meniup segar di gigi rambut
Biarkan aku rasakan harapan
Tersimpan dalam gulungan kalimat misteri angin lalu
Kalimat yang hanya aku faham
Hanya aku mengerti
Dan kemudian bebas; aku rasakan.


10 Disember 2011, 3.37 pagi
shah alam


*escapism, aku mencari.

Tuesday, November 22, 2011

Antara Susah, Darjat dan Busuk Hati

Tak usah dianjingkan kesusahan
Pampang cermin hamparkan jujur
Zahirkan rasa luahkan perasaan
Walaupun benar tolak kau tersungkur

Atau kau takut sakitnya jatuh?

Ludah ke langit kahak ke muka
Hina kau rasa; kau bukan mulia
Samanya pijak samanya junjung
Samanya rugi samanya untung

Apa kau tak serupa?

Sedarkah tangan yang melempar tahi
Tahi dah buang busuk tertinggal
Hidup dibenci wujud tercaci
Cuci sesungai pun takkan tertanggal

Sanggup kau tanggung?


Aku tak.



22 November 2011, 4.16 petang
shah alam.



Monday, November 14, 2011

Mencari Maaf

Ya Allah tuhanku; aku hambamu
Dengarkan rintihan keliru celaru
Sejenak menghilang Rohku terbang
Terbawa dek sepoi lama terbuai
Bila terbuka mata kurniamu
Naik terapung Jasadku tergantung
Dan Roh pula terduduk, sinis;
Melihat aku, lalu bertanya;
Mana maafmu? Mana maafmu?

“Mengapa kau seksa aku begini?
Sedangkan maaf tuhan dah beri
Mengapa kau seksa kau sendiri?
Lepaskan amarah membuta tuli”

Aku tak boleh!
"Walaupun kasih?"

Tak mungkin berlaku!
“Kau yang tak mahu”

Kau apa tahu??!!
“Aku dirimu”

Lalu jasadku terjelopok jatuh
Ke dalam lumpur penuh pengakuan

Ya Allah tuhanku; aku hambamu
Kurniakan aku maaf
Bebaskan aku dari khilaf
Biarkan Roh dan Jasad seiring bertenang
Memeluk kasih yang sedia bertandang.


15 November 2011, 2.35pm
Perpustakaan INTEC, Shah Alam (hari mencari diri)




p/s: skizo itu hanya topeng realiti.


Thursday, November 10, 2011

Bangunku Disorong Bantal

Aku dah bangun
Terbangun dibangun aku tak pasti
Realiti meracun senggamaku dengan mimpi
Lalu buaian fantasi pun henti.
Ibarat pelacur melacur dan pergi
Tinggalkan aku seorang;
Tercari, tak pasti.

Hilang dalam kebenaran yang tak bisa aku terima.

Terkedu aku
Terdiam
Terpaku akan paku-paku kebenaran yang memaku di dinding sedar
Sedar ini; aku benci
Sedar ini; aku geli
Sedar ini; terlalu utuh
Utuh yang langsung aku ku tak butuh.
Puih.

Bantal mana, bantal?
Sorongkan aku bantal biarkan aku khayal
Biarkan aku khayal dalam pintal memori; satu persatu
Hanyut tapi sedap
Tipu tapi enak
Sementara tapi puas.

Aku mahu ditipu lagi.



11.11.2011, 5.01 pagi
Shah Alam (pagi yang keliru)



p/s: tolonglah mata, tidur kembali.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...