Tuesday, June 19, 2012

Sombong


"Aduh... bila lah nak break ni..." keluh Fitghi dalam hati. Sememangnya dia sedang lapar. Apakan tidak, pukul 4 pagi tadi masih menaip tak henti. Mujur assignment siap dan sempat dihantar. Memang macam tu lah dia, semua kerja last minute. Lepas tu bila siap pun last minute, dia bajet hebat.

"Maybe we should take a 5 minutes break", kata-kata hikmat yg lama ditunggu oleh Fitghi untuk keluar dari mulut pensyarahnya itu. bergegas-gegas dia ke kafe, konon takut lambat masuk kelas balik dan terlajak break. Walhal sedia maklum break 5 minit semestinya break 15 minit baginya. Di kafe, dihantamnya mee campur kuetiaw sepinggan. Kenyang.

Oh sekarang apa? Lepas makan kenalah merokok.

"Alamak ada staf-staf pulak dah makan kat kafe ni... potong stim lah", keluhnya lagi. Dalam usaha menghindar kurang ajar, dia memutuskan untuk tidak merokok dia kafe seperti selalu. Lagipun satu kampus ni Zon Larang Merokok lah katakan. Terpaksalah dia ke tandas untuk curi-curi merokok, macam yang selalu dibuatnya masa degree dahulu.

Sampai di depan tandas, sekali lagi Fitghi kecewa. Ada signboard kuning diletakkan depan tandas. 'Caution: Wet Floor', tulisnya.

Ah peduli tidak! Dimasuknya juga dengan niat suci murni; untuk merokok selepas melantak. Manakan mungkin dia lepaskan peluang untuk mengecap 5 minit bahagia sebatang rokok selepas santap itu. Tambahan pula kotak baru belum dibuka, memanggil-manggil untuk dirobek plastiknya.

Masuk saja dia ke dalam tandas itu, terlihat seorang makcik cleaner sedang memberus jamban-jamban. Merasakan dia tidak mengganggu tugas makcik cleaner itu, dia duduk di atas pangkin ruang legar tandas, sebatang rokok sudah di bibir.

Disedutnya asap pertama; puas!



"Adik", sapa ringkas makcik cleaner padanya sambil tersenyum. Fitghi membalas senyum dengan rasa sedikit segan. "Ye", balasnya kembali. "Dah makan pagi ke, makcik?" tanya Fitghi, bukan untuk sembang kosong, lebih kepada mengisi kekosongan.

"Oh...dah", jawab makcik ringkas, sambil tekun membasuh lantai jamban satu persatu. Timbul rasa kasihan dalam diri Fitghi padanya.

Tak tahu apa yang harus dikatakan, dengan perasaan janggal perbualan yang tergantung; Fitghi bertanya selamba, "Dah lama ke kerja sini makcik?" Sedikit terlambat baginya untuk menyesal bertanya, takut-takut soalan itu dipandang serong si makcik cleaner, takut-takut dia terasa.

Tapi tak. Makcik cleaner senyum lalu menjawab, "Dah nak dekat 4 tahun dah, dik"

....

"Oh", balas Fitghi. Bukan menamatkan perbualan, cuma otaknya mula membentuk logik akal falsafah diri.

Logik akal falsafah diri yang membuatnya segan; malu teramat. Ujar akalnya,

Kenapa dia rasa kurang ajar merokok depan staf-staf di kafe, sedangkan merokok depan makcik cleaner di dalam tandas dirasakannya boleh diterima akal, tak kurang ajar langsung?

Kenapa dia tak pernah sedar kewujudan makcik cleaner yang saban hari mencuci tandas yang sama untuk 4 tahun, sedangkan dia sudah berkurun menuntut di fakulti? 6 tahun!

Kenapa tidak makcik cleaner menegurnya merokok di ruang yang baru sahaja dicucinya? Bahkan dia cuma menyapa ramah dengan senyuman.


Pelbagai soal tertimbul di kotak fikirnya, Fitghi malu pada diri sendiri. Terasa diri terlalu sombong. tanpa sedar dia bongkak dengan diri yang tak seberapa.

Keluar saja dia ke alam nyata, tersedar rokok dah nak habis, apinya hampir tak menyala lagi.

Lalu dimatikannya saki-baki api, dibuangnya puntung ke dalam tong sampah, dikutipnya abu rokok yang jatuh ke atas pangkin, dibasuhnya tangan, dan dengan segan; separuh suara dia berkata,

"Saya naik kelas dulu ye makcik, sorry buat kotor kat sini"

"Tak apa, makcik dah biasa", balas makcik cleaner, masih tersenyum.

Fitghi sengih kambing, tertunduk, dan berlalu.

Wednesday, June 6, 2012

Bunuh Obrol

Setan.
Obrol semuanya obrol belaka!
Kencang tutur pokok pun tumbang
Hanyut lemas didalam sembang
Konon!!!

Aku sedih.

Bangsatkan sana bangsatkan sini
Canang begitu canang begini
Caknanya itu caknanya ini
Semuanya konon sepi;
konon tinggal konon

Yang sebenar palui adalah aku!
Konon cerdas; mudah tertipu
Tercanang jahat sepelosok
Tikam hati jiwa tertusuk

Aku cedera
Aku parah

Lagukan aku syair tak sudah
Iring pergiku sebelum syahadah.

Aku mati.




7 Jun 2012 (1.57 petang)
Shah Alam (hanya monolog bosan pendua diri)


p/s: tenang masih jauh diufuk


Saturday, May 26, 2012

Pelacur Saku

Nama aku, Winston
Warna aku, putih
Sedapnya aku...
Bikin ketagih

Aku ni sundal
Aku tak sangkal
Sayugialah melacur
Di bibir yang asing

Bibir ke bibir
Hisap dan pejam
Panas di dalam
Lepas dan puas

Apa? Aku sundal?
Kan sudah ku bilang tadi?
Hitunglah aku, sebagaimana aku
Bukankah kau malaikat; serba tahu?

Dibalik jijiknya palit kubawa
Akulah kawan, akulah teman
Rencam risau aku padamkan
Hanya dengan tawar lacuran...
Lapan ringgit lima puluh sen

Kau mampu?
Heh..



p/s: tatkala mendengar deklamasi pemuda-pemudi di keramaian, aku tersedar siapa kawan baikku.





25/05/2012, sekitar 9.30malam
Rock the Youth, Seksyen 7 Shah Alam (selamat hari jadi fitghi)

Friday, May 18, 2012

Hasil Plagiat Teragung

Oh, matahari dah tegak?
Tapi hati aku masih pagi...
Jasad disini jiwa tak ganjak
Melawan arus benar menolak
Aku tak mampu. Aku pura-pura mampu
Aku tahu.

Buat apa tengahari?
Panas, peluh berlemuih, busuk!
Terik yang tak pernah kawan
Sikit pun aku tak suka
Aku cari teduh di mana ada

Begitu sekali terganggu,
Boleh kau bayang?

Lalu aku plagiat pagi dihati
Bina harapan menipu diri
Di bawah teduhan bumbung dan awan
Kubiar fikir berlegar, mata tertutup
Antara kicau burung, kokok ayam
Rumput berembun
Aroma nasi lemak
pakcik pulang subuh; ngeteh membaca surat khabar
Lori ikan memusing taman
Makcik menahan lori; tawar-menawar kangkung dan mambong

Bau pagi itu...Ahh... Bau pagi itu...
Semua aku rasa...

Sebegitu banyak potensi hari
Sebegitu banyak jangkan hati
Mana mungkin terbanding?

Aku pun senyum... puas!

Kemudian...

Mata terbuka
Hati terluka
Senyum tinggal sengih
Pagi tiada tengahari masih
Usik hati sembangkan diri
Fitghi berjaya menipu hari
Lalu bangun terima hakikat
Manakan mampu kau ubah tersurat...






p/s: tak sabar menanti pagi esok




19 Mei 2012, 1.42 petang
Shah Alam (panas)

Monday, April 30, 2012

Dilema Asyik

Asyik-asyik bintang, asyik-asyik bulan
Asyik-asyik cinta, asyik-asyik korban
Asyik-asyik memori, asyik-asyik rindu
Asyik-asyik kenangan, asyik-asyik berlalu

Asyik-asyik malam, asyik-asyik sunyi
Asyik-asyik seorang, asyik-asyik sepi
Asyik-asyik teraniaya, asyik-asyik tabah
Asyik-asyik melampau, asyik-asyik rebah

Asyik-asyik cekal, asyik-asyik tak kisah
Asyik-asyik nasib, asyik-asyik pasrah
Asyik-asyik balasan, asyik-asyik redha
Asyik-asyik sesalan, asyik-asyik karma

Asyik-asyik pelangi, asyik-asyik harapan
Asyik-asyik menari, asyik-asyik hujan
Asyik-asyik berjiwa, asyik-asyik kacau
Asyik asyik sayang, asyik-asyik risau

Drama ini aku wisatawan
Sketsa ini aku seniman






p/s: kita semua sama bukan?


1 May 2012, 6.44pagi
Shah Alam (berteman dentuman guruh)

Sunday, April 1, 2012

Si Jijik

Akukah manusia jijik itu?
Bertopeng sayang dipapah rindu
Ucap serapah isi yang kosong
hilang semua, semua melopong

Harapan, masa depan
Semalam...penipuan
Kusut tak terungkai
Singkap tak ternampak
Tercari-cari

Lalu, menyerah?

Akulah, ye, akulah
Akulah si jiijik itu
Perdagang matawang bernama rasa
Mengutip untung; tak kira binasa


Berjumpa khalayak lalu berkata,
"Saya Fitghi, ini kad saya"
"Mahu dibawa keluar dunia?"
"Lawan graviti, terbang bersama?"
"Indah dah mesti, kelas pertama!!!"

Akukah? Akukah? Akukah si bangsat itu?


Akulah, ye, akulah.



1 April 2012, 5.51ptg
shah alam (petang, seorang)







*ini bukan April Fool

Wednesday, February 15, 2012

Omong Kosong

Sanggup kau?
Meniti teori ilusi di kala kau tahu;
Gembira, hebat, kental, super
hanyalah tipu.

Yang sebenarnya engkau rapuh
Ditutuh lemah personafikasi diri sendiri
Dijana menjadi hak; walau mimpi

Fucked Up
.

Apa perlu segan?
Di kala akuan vulnerable mampu mengubah
Menggubah kau yang sebenar-benarnya kau
Takbur tak lekat ego kau hancur
Hidup tak hebat tapi mati kau jujur.



Atau kau rela pura?


Lantak engkau lah.



16 Februari 2012, 3.20 pagi
kampar (bilik kosong)


*lama aku hilang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...