Thursday, November 25, 2021

anekdot hari biasa



Aku menghela nafas panjang. Malam yang sekadar biasa ini tampak benar kesunyiannya. 

Seperti malam-malam semalam, kelmarin, dan beberapa hari sebelum ini. Balutan Mac Baren di celahan telunjuk dan hantu kiri, Secawan kopi pahit di atas meja, dan segumpal tanda tanya yang berselirat di dalam hati. 

Malas benar aku rungkaikan. Manalah aku tahu yang mana hujung, yang mana pangkal. Di sekolah tak ajar semua ni.

Jauh dari balkoni aku melihat sepasang kekasih antara para pemancing yang mengelilingi tasik di depan rumahku. Dari atas kelihatan bahasa tubuh dua insan yang jelas ada perasaan antara satu sama lain. Dari kejauhan ini aku boleh bayangkan senyuman si perempuan, diusik nakal si lelaki. Kalau ada buku teks percintaan, ini jelas bab pertama.

"Untunglah hangpa", hati aku menyindir. Entah siapa.

Aku hirup lagi kopi pahit tanpa gula yang sedia terhidang di atas meja. Sambil menghirup aku bunyi-bunyikan buih kopi di hujung bibirku, biar pahit itu menerjah melekat tepat di tekak sebelum turun ke perut. Seolah menghukum diri. Ya, aku menghukum diri.

Aku temukan dahi beberapa kali ke atas meja Ikea yang aku beli bulan lepas. Meja ini pun aku beli demi rasa. Aku hentak-hentakkan sedikit dahiku agar terbit sedikit sakit. Aku butuh apa jua rasa yang sudi singgah di sebalik haru-biru perasaan aku kebelakangan ini. Sakit juga adalah rasa, serasa cinta.

Balutan di jariku berbaki tiga atau empat hisap lagi. Sayu benar aku rasa bakal ditinggalkan balutan ini. Setiap balutan adalah peneman yang sudi mendengar. Tapi balutan juga pergi, apa lagi manusia.

Pasangan kekasih mula beransur. Sedia untuk ke destinasi cinta mereka seterusnya. Semoga tuhan menemani.

"Aku doakan yang terbaik, guys!", sambil mengangkat secawan kopi pahit hirupan terakhir. Senyum.

Oh, balutan sudah padam. Sepadam hatiku malam ini.




Cyberjaya. 251121.


Tuesday, November 9, 2021

dalam sedatif pejamku



dalam sedatif pejamku

aku melihat kau berulang-alik

membawa sekeping kertas ternyata tinta

untuk hati yang rindu


dalam sedatif pejamku

tinta itu berkata-kata

bait yang kudengar seolah-olah lagu semalam

yang kita senyumkan

yang kita relakan


dalam sedatif pejamku

tangan kita masih bertaut

di celahnya ada takut

bersalut elok dengan harapan


dalam sedatif pejamku

aku menunggu harum rambutmu

membuka layar seribu kemungkinan

perahu itu kita yang punya


dalam sedatif pejamku

kita sentiasa muda

akan hari-hari mendatang

akan esok-esok tak pasti

akan jiwa-jiwa petualang


aku ketagihan sedatif ini

tolong aku tuhan.





10112021. Alor Setar.

Saturday, December 19, 2020

Memori Anggerik

 

Hati-hati wahai sayang

Sedikit lagi jiwaku belayar

Menyusur laluan kisah kita yang semalam

Doakan agar aku tidak hilang

 

Dan mentari seakan memahami betapa ku perlukan redupmu

Tanganmu seolah memegangku membawa kita bersama

Memusing laluan kota anggerik…

 


201220 4.25 pagi

Seremban

Sunday, October 11, 2020

Soal Cemburu



Dedaun hijau itu terangguk-angguk ditiup angin

Batang pohonnya segar disinar matahari

tatkala dua belas tengahari

Seolah redha

Seolah pasrah

Seolah cukup serba serbi

Betapa aku cemburu


Semut berbadan hitam berbontot merah

Lihatnya santai mendaki batu

Sambil membawa bebanan tanah

Gigih mengheret satu persatu

Ahh...

Benar-benar aku cemburu


Kita manusia terlalu cepat mengadu

Terlalu banyak persoal waktu

Itu begini... begini begitu

Dikira rapi satu persatu


Sambil bulan berganti bentuk

Bertanyakan nasib semana boleh

Menghempap setimpal hingga terduduk

Adakah tuhan masih kasih.




12102020

seremban.




Thursday, January 23, 2020

adiwira papa



adiwira,
papamu terkurung dalam kotak menunggu
memutarkan roda menyalakan lampu
untuk siapa papa tak tahu
hati teringin ketawa denganmu

adiwira,
rasa bersalah papa terkumpul
papa tak nyanyi karya john dan paul
jauh sungguh kita berdua
semoga tuhan memberi masa

adiwira,
petiklah gitar papa nak dengar
perdayakan papa yang sedih dan gusar
mari sayang kita belayar
meredah laut dan halilintar

adiwira,
papahkan papa bila papa dah tua
jagakan mama dan kakakmu juga
siapalah lagi nak papa harapkan
kalau bukan adiwira kesayangan.



03.35 petang. 24012020

*untuk idris

Tuesday, October 22, 2019

cantik yang hilang

sepanjang masa memikirkanmu
hatiku teriak tanpa berpada
sampah-sampah ini aku kutip
semata memandangmu dari luar jendela

iya cantik itu terpadam
bersama gelojoh hisab semalam
atau semata jijik-jijik butiran dendam
katakan padaku biarku hadam

dan cantik itupun luntur
dicuci kotor dosa-dosaku
apalagi yang ada padaku
.... apalagi yang ada padaku

Wednesday, July 3, 2019

demi tuhan aku



demi tuhan aku tak tipu
runtun sedih sesah kalbuku
beginikan aku, aku begini
begitukan aku, aku begitu.

dan malaikat mula mengira
yang satu satu yang dua dua
tiada sedekah tiada percuma
kutatang tatang kujaja jaja

             selayaknya aku dihitung

demi tuhan sejujurnya lelah
memikul kati-kati pahala
hanya untuk mendukung dosa
memeluk sebujur tubuh yang kosong

yang satu satu berganda dua
apatah lagi dua dan tiga
setiap nikmat itu natijah
setiap kalimat disangga ludah

                apa ini selayakku?




Tuesday, December 26, 2017

heart next to you

intro

verse:
took some time for me to realise
all the games and all these lies
are reflection of our souls
and we wanted to grow old together baby
old together baby
oh we were naive

we thought it's all over
but no it ain't over
and i...i...
just can't keep my heart next to you

bridge:
ooo...

chorus:
take it all away
take these memories away
no i won't be okay
and i don't want to stay

there are things that you do
the way that you did
it stuck like a glue
you were all that i need

and the faces of you kept haunting me

bridge

solo

verse (altered)

chorus

outro



2,36am
seremban

Monday, December 4, 2017

aku berjalan lagi
menyusuri lorong memori kita bersama
meniti titi kecil sebuah kenangan
termenung sambil tersenyum

betapa kita suatu ketentuan
oleh bait-bait hening bandar anggerik 
    di kala malam
    di bangku batu
    di taman itu.

Oh betapa kita suatu ketentuan.



05122017
seremban
1.28petang

Tuesday, September 12, 2017

antara terbang dan buli

ruang
aku perlu ruang
  untuk jatuh bersama daun-daun kering
  aku mahu pejam dan terbang bersama rasa asing
seperti dulu-dulu

tapi masa itu cemburu
pada hakikat yang kita ini bebas
menutup kabur apa yang jelas
sehingga aku terkapai
buta


keluhan rindu semakin sepi
rintihan jiwa tidah berbunyi
jadilah kita umpama robot-robot manusia
tiada rasa pada frasa-frasa syurga dunia kita bersama

aku terbuli.



13092017
seremban
1.46pagi

Friday, June 30, 2017

empangan hati

yang terbawa adalah beban
bertahun - tahun membina empangan hati
menahan kemas sungai dunia
agar tak lepas
agar berpada
pada perasaan yang sering akhirnya menipu
pada jiwa yang suka didusta

yang ternampak adalah semalam
ceritera yang sudah bertirai
plot yang sudah berlabuh
tersisi pada realiti kita dan apa sebenarnya

bata-bata empangan itu
elok disusun kau dan aku
rapi tak berjarak;
utuh tak bertiris
    untuk suatu masa semalam.





01072017
alor setar
12.21pagi

Thursday, May 4, 2017

kau wacana cinta

suria,
kita dah sampai
lihat tu; garis -garis penamat sayang
cantik dan sedih membelit bersama
itu kita yang punya
ayuh berpimpin langkah bersama?
eh? tapi kenapa kau masih tersimpuh?
mengajak aku baring di pangku;
   mengusap lembut rambutku
      mendendang lagu - lagu kepunyaan mimpi - mimpi
yang kita tahu sekadar suatu sekadar.
ya
kau wacana cinta aku
sampai bila -bila

lepaskan, kali ini, tolong?




04052017
seremban


Tuesday, December 6, 2016

kepingan rasa


merangkak sekeping jiwa; longlai
pecah
terpisah
berderai
   menjadi keping-keping kecil,
tiapnya cerita perihal dongengan pak pandir
hadir bersama seantero pahit dan manis
luka-luka dan kudis-kudis kehidupan
cantik-cantik dan huduh-huduh kebenaran

rela ia terdampar
rela ia terbiar
rela ia dipijak

berikan aku secawan kopi; mari aku kisahkan...

Sunday, July 17, 2016

Perihal Babi : Damai Dosa Semalam

Latif berjalan longlai. Tiada daya mencari penghabisan yang terulung akan kisah-kisah dusta jajaan pendeta-pendeta radio. Mereka kerap berbahasa cinta, namun Latif kurang arif akan di mana akar sayangnya.

"Bohong. Penipu", ujar dia pada diri. Dia patah. Dia rapuh. Dia tak faham kenapa dia ditinggalkan.

Meniti titian konkrit menutup longkang kotor Jalan Pasar di tengah sudut sunyi Kuala Lumpur, mata Latif melilau mencari sinar yang bisa menarik dia ketepi agar tidak jatuh. Tapi semua kelam. Hari sudah pukul 12.30 tengah malam, lalu dia akur.

Penat, Latif duduk dan terus meneguk sebotol Tuborg, alkohol terpondan yang termampu dibeli di Kedai Serbaneka Seven Eleven berdekatan. Selepas mengesat air mata, dia nyalakan sebatang Winston putih, terus menangis kembali.

"Kenapa aku! Babi la, kenapa aku!", jeritnya sekuat hati pada langit gelap.

"Sekarang dah tak ada yang sayang aku! Cinta tu babi! Sayang tu babi!", bebel Latif sendiri sambil menumbuk-numbuk dahi, mata terpejam.

Sungguh dia rasa kalah. Sungguh dia rasa nak mati. Dia benar-benar rasa tertipu dek buaian penceritaan klise novel-novel Melayu, drama-drama Melayu, lagu-lagu Melayu.

Frasa 'separuh nyawa merindu'  tiba-tiba membuat dia rasa jelek dan kotor, seakan terpegang tahi.

"Aku yang sepenuh jiwa raga merindu pun kena buang, apatah lagi separuh, bodoh gila babi!"

Habis minum dan merokok, Latif memulakan perjalanan pulang ke Shah Alam membawa hati yang koyak. Laju membelah jalan persekutuan, tiba-tiba enjin motosikalnya terhenti.

"Malang apa ni! Minyak pulak habis!" "Nasib apalah yang aku dapat ni!" "Bodoh punya motor!"  &*^**-/*&^%%~~

Penat sumpah seranah, Latif terhenti dan terdiam. Matanya terkedip-kedip, mulutnya terlopong. Di bahu jalan persekutuan itu, dia menggelengkan kepala dan tersenyum tanda sedar akan jawapan mengapa dia ditinggalkan kekasih dan tuhan.

"Oh patutlah..."
"...aku yang babi rupanya..."

Lalu perlahan-lahan dia menyorong motosikal membelah malam. Menyorong damai dosa semalam.







seremban, 6.36 petang. 17 julai 2016.

Tuesday, June 21, 2016

perihal cinta rindu aurora


jarang cinta kubahasakan cinta
jarang rindu kubahasakan rindu
sementelah jiwa ini sembunyi
dari bunyi-bunyi sumbang
   dari lagu-lagu sayang
takut terkesan terkesima tertipu

namun aurora jiwaku aurora
degup ini rentaknya cinta
hela nafas berbau cinta
setiap kata titipnya cinta

benar-benar jatuh cinta

apatah lagi suamnya rindu
ku peluk tubuh ku rintih sayu
betapa sesaat menjadi selalu
betapa sehari ku harap berlalu
   hingga kita ketemu

benar-benar rindu

sungguh
aku tak mampu.
aku tak mampu.




seremban 6.26 petang 21 jun 2016


aku kini seorang bapa.

Sunday, February 14, 2016

jelas

jelas nasib dah jatuh hukum
tatkala doa dibawa angin terbang
memanjat langit mencari Dia
memejam mata mencari lapang
lepaskan kudrat lepaskan daya

jelas tuhan tidak berpaling
pada pendosa-pendosa kesayangannya
pada suatu hajat jujur dan terbogel
pada suatu syukur yang utuh tak bertiang

jelas kita bukan sekadar jasad
dipandu nafsu menari-nari
di batas-batas beda neraka syurga
waima diseru berkali-kali
megah berpaling terus tersengih

untunglah tuhan masih kasih.






seremban. 5.36pm. 14 februari 2016.

Saturday, November 28, 2015

lakar-lakar semalam



sini
mari oh mari
lakar-lakar semalam basahan hujan panas
masih ada tompok2 warnanya
masih kekal tampak figura
kau dan aku
marilah tengok
betapa hodohnya kita
    aku perlu teman untuk gelakkan




seremban 28 november 2015

Tuesday, November 17, 2015

aku saorang



aku menunggu
berteman degup-degup laju jantung
melihat keresahan burung-burung terbang
mana mungkin ia faham?

aku kais-kais kenangan
satu persatu aku satukan
cebis-cebis koyak yang kita reka
apa mungkin menjadi gambar?

datanglah sini
aku saorang.



seremban. 17 november 2015.

sisa-sisa rindu



kita adalah sisa-sisa rindu:
   yang jelas kekaburan
bertemu di atas kata-kata janji
berpeluk pada harapan

kita adalah sisa-sisa rindu;
    yang sungguh terpalit duka
guris selumbar soretan awan
memandang kuburan sunyi

kita adalah sisa-sisa rindu:
    yang sakit tiada ubat
batuk kita kahak cinta
bersin kita hingus cinta

oh kita;
    betapa kita hanya sisa-sisa



seremban, 10.56 malam, 17 november 2015

Thursday, November 12, 2015

kita adalah bendera





kita adalah bendera dan dunia hanya angin
   menanti gah tiupan sepoi-sepoi bahasa
   menunggu penghargaan orang-orang bermaruah
   mereka berkata; itulah itu aku sayang itu
   mari ku gunting  aku jadikan baju
   mari kudabik dan aku siulkan
      irama-irama cinta bersama... mari!

Dan angin tak kunjung tiba?



Seremban, 9.44pm. 12 November 2015
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...