Sunday, July 17, 2016

Perihal Babi : Damai Dosa Semalam

Latif berjalan longlai. Tiada daya mencari penghabisan yang terulung akan kisah-kisah dusta jajaan pendeta-pendeta radio. Mereka kerap berbahasa cinta, namun Latif kurang arif akan di mana akar sayangnya.

"Bohong. Penipu", ujar dia pada diri. Dia patah. Dia rapuh. Dia tak faham kenapa dia ditinggalkan.

Meniti titian konkrit menutup longkang kotor Jalan Pasar di tengah sudut sunyi Kuala Lumpur, mata Latif melilau mencari sinar yang bisa menarik dia ketepi agar tidak jatuh. Tapi semua kelam. Hari sudah pukul 12.30 tengah malam, lalu dia akur.

Penat, Latif duduk dan terus meneguk sebotol Tuborg, alkohol terpondan yang termampu dibeli di Kedai Serbaneka Seven Eleven berdekatan. Selepas mengesat air mata, dia nyalakan sebatang Winston putih, terus menangis kembali.

"Kenapa aku! Babi la, kenapa aku!", jeritnya sekuat hati pada langit gelap.

"Sekarang dah tak ada yang sayang aku! Cinta tu babi! Sayang tu babi!", bebel Latif sendiri sambil menumbuk-numbuk dahi, mata terpejam.

Sungguh dia rasa kalah. Sungguh dia rasa nak mati. Dia benar-benar rasa tertipu dek buaian penceritaan klise novel-novel Melayu, drama-drama Melayu, lagu-lagu Melayu.

Frasa 'separuh nyawa merindu'  tiba-tiba membuat dia rasa jelek dan kotor, seakan terpegang tahi.

"Aku yang sepenuh jiwa raga merindu pun kena buang, apatah lagi separuh, bodoh gila babi!"

Habis minum dan merokok, Latif memulakan perjalanan pulang ke Shah Alam membawa hati yang koyak. Laju membelah jalan persekutuan, tiba-tiba enjin motosikalnya terhenti.

"Malang apa ni! Minyak pulak habis!" "Nasib apalah yang aku dapat ni!" "Bodoh punya motor!"  &*^**-/*&^%%~~

Penat sumpah seranah, Latif terhenti dan terdiam. Matanya terkedip-kedip, mulutnya terlopong. Di bahu jalan persekutuan itu, dia menggelengkan kepala dan tersenyum tanda sedar akan jawapan mengapa dia ditinggalkan kekasih dan tuhan.

"Oh patutlah..."
"...aku yang babi rupanya..."

Lalu perlahan-lahan dia menyorong motosikal membelah malam. Menyorong damai dosa semalam.







seremban, 6.36 petang. 17 julai 2016.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...